Kasut

Untuk acara ke-3 dan ke-4 dalam tahun 2015, saya masih memakai kasut Reebok Zignano walaupun tak berapa selesa dipakai untuk jarak 10km sebelum ini. Pada waktu itu saya andaikan yang saya tak biasa lagi dengan kasut tu, dan pengalaman lampau tentang kasut yang saya tahu ialah kasut dan kaki masing-masing perlukan masa untuk penyesuaian. Saya rasa peluang dan masa masih ada untuk diberi.

Ringkasan acara ke-3 dan ke-4.

Acara ke-3: ASEAN UNITY RUN – Stroller 5k

Tak banyak acara di Malaysia yang tawarkan kategori Stroller. Saya teruja nak cuba lari tolak stroller, walaupun ‘baby’ saya pada masa itu sudah berumur 5 tahun. Dia duduk dalam stroller pun kaki terjulur sikit. Kategori ni jaraknya 5km saja, jadi bolehlah nak cuba. Dengan stroller, saya boleh letak macam-macam barang seperti botol air, makanan dan telefon.  Lari dengan stroller ni pada saya yang pentingnya keselesaan penumpang supaya dia tak buat hal yang boleh mengganggu larian. Spesifikasi stroller yang sesuai juga penting, tapi saya akan bincangkan hal ni lain kali.

Stroller 5k ni dilepaskan selepas Normal 5k untuk mengelakkan kesesakan. Dengan telefon yang diletakkan di dalam dulang stroller, maka saya boleh tengok terus penjejakan larian dengan apps Nike+ yang terpasang. Macam komputer basikal pun ada.

Saya berlari dengan sekali sekala menolak laju stroller ke depan, sekadar memberi hiburan kepada penumpang. Terdengar mengekek-ngekek bermakna okay sangat lah tu. Tak lama lepas tu, saya mula memotong gerombolan pelari Normal 5k dan apa yang saya perhatikan amatlah memuaskan: mereka lihat kami memintas dengan riak yang terkejut, dan seolah-olah berkata “wow, macammana stroller yang besar dan berat ni boleh potong aku?”

Tamat larian, saya dapati semuanya okay. Tiada kesakitan, tiada penderitaan pada mana-mana bahagian kaki. Saya pulang dengan hati yang gembira dan mengisytiharkan “I love stroller run” di akaun IG. Namun, itu sahajalah satu-satunya pembabitan saya dengan stroller sepanjang dua tahun ini.

Acara ke-4: #RUNWITHUS 2015 – 12km

Saya sertai acara ini bersama Syful (Atoi) dan Roy; kami bertiga rakan sebaya dari SEMESTA. Acara ini dianjurkan oleh kelab larian alumni sekolah SEMESTI (juga SBP macam sekolah kami) yang bernama ASTIRUNNERS. Saya selalu nampak kelibat mereka dengan jumlah yang ramai dalam pelbagai acara. Mereka… ramai… pelbagai variasi warna dan jenama baju kelab… Jeles!!! Menurut Roy, pengasas ASTIRUNNERS ni (Apam kot nama dia) kawan dia sejak dari UTM lagi. Dulu, mereka berdua lah yang mula-mula lari sebelum rakan-rakan masing-masing turut serta.

Semasa larian, Atoi dan Roy pergi entah ke mana dan saya tercicir teruk di belakang. Apa pun, 12km ni jarak yang paling jauh pernah saya lari seumur hidup jadi saya taklah rasa tertekan sangat kena tinggal. Saya lebih nak cuba nikmati larian sahaja. Malangnya nak cuba ini pun gagal! Dah lah kena tinggal, lepas tu menderita semasa berlari… memang tak best langsung!

Tamat larian, kedua-dua tapak kaki saya terasa sangat sakit, hinggakan nak jalan pun terhincut-hincut. Selepas itu, kami pergi sarapan di Presint 16 (kot?) Putrajaya dan berkongsi cerita larian tadi. Selain makan nasi lemak, saya juga makan gelak ketawa dan sindiran yang dihamburkan oleh mereka berdua. Hampeh! Hahahaha.

==========================

Dalam sela masa antara kedua-dua acara ni, saya godek habis Runner’s World, Competitor, Runrepeat, Runningshoesguru dan beberapa laman yang lain, hanya untuk mendalami serba serbi tentang kasut. Tidaklah saya terus jadi pandai selepas tu, sebab makin dalam kita cari, makin banyak yang kita taktau. Tapi apa pun dapatlah juga dua tiga panduan untuk buat bekal di hari muka.

Jadi asasnya, analisis dan kajian yang berkaitan memberi kesimpulan bahawa ada 3 jenis profil kaki yang dimiliki oleh majoriti pelari.

Macammana nak tau kaki kita tergolong dalam jenis apa? Ada beberapa cara nak tau, seperti:

1. Periksa lengkungan (arch) kaki dengan melakukan Wet Foot Test.

Wet Test

Secara umumnya, ada tiga jenis lengkungan kaki iaitu Lengkungan Rendah, Lengkungan Normal dan Lengkungan Tinggi. Nak tahu kita jenis yang mana, buat macam ni. Senang dan mudah difahami.

– Sediakan kertas gelap macam kertas minyak coklat, sugar paper hitam atau ambil saja kotak kertas keras warna coklat tu. Saiznya sekadar muat untuk kita berdiri di atas nya. Hamparkan atas lantai.

– Basahkan tapak kaki, nipis-nipis sudah. Kalau terlalu basah nanti tak jadi pula.

– Pijak kaki yang basah tadi di atas kertas gelap seketika kemudian alih kaki anda. Lihat cetakan yang terhasil.

A. Lengkungan Rendah (Low Arch/Flat Foot)

Flat Arch

Kalau cetakan kaki macam ni, maknanya ketika berlari tapak kaki bergolek dari luar ke dalam masa mendarat. Keadaan ini dapat menyerap hentakan pendaratan, tapi ada golekan yang berlebihan, yang boleh beri beban dan risiko kecederaan kepada kaki dan lutut. Kaki macam ni boleh lah pakai kasut yang ada ciri sokongan dan stabiliti (seperti ada bongkah keras pada tapak kasut di bawah lengkung kaki, atau ada bahan penganjak untuk menaikkan lengkungan). Contoh kasut:

– Brooks: Adrenaline GTS, Ravenna
– Adidas: Sequence Boost, Ultra Boost ST
– Nike: Zoom Structure, Lunarglide
– Asics: GT-1000, GT-2000, Kayano
– New Balance: NB 1500
– Mizuno: Wave Inspire

B. Lengkungan Normal (Normal Arch)

Normal Arch

Bentuk yang macam ni merupakan bentuk kaki yang lazim, dan dikatakan ramai orang memiliki bentuk macam ni. Ini bermakna lengkungan kaki secara alaminya menyokong berat badan dan menyerap hentakan. Golekan kaki semasa mendarat pula adalah sedang-sedang elok sahaja. Beruntunglah kaki macam ni sebab boleh pakai hampir semua jenis kasut lari. Banyak betul pilihan!

C. Lengkungan Tinggi (High Arch)

High Arch

Bentuk macam ni bermakna sangat sedikit golekan tapak kaki yang berlaku semasa pendaratan menyebabkan serapan hentakan tidak berapa baik. Kasut yang dicadangkan adalah yang berkusyen tebal untuk kurangkan tekanan pada bahagian luar tapak kaki dan keseluruhan tapak kaki secara umumnya.

(gambar ihsan Runner’s World)

Walau bagaimanapun, Wet Foot Test ni hanya boleh beri gambaran awal dalam pencarian kasut yang sesuai. Ada banyak faktor lain lagi yang membezakan setiap orang seperti bentuk kaki lebar atau tirus, berat badan, biomekanik, pengalaman berlari dan sebagainya. Kena cuba dan bertanya kat kedai kasut sampai puas hati.

2. Dapatkan khidmat nasihat di kedai sukan.

Pergi ke kedai sukan yang mengkhususkan larian atau butik jenama sukan. Sesetengah gedung sukan besar pun ada juga. Mereka ada alat untuk ukur dan semak tapak kaki anda. Ada tempat yang boleh buat uji lari di atas treadmill. Ada yang boleh buat analisis terperinci siap ada rakaman video lagi. Yang paling penting ialah jurujualnya mesti berpengalaman dan berpengetahuan luas tentang larian. Barulah ada ‘pemberat’ sikit nasihat dia. Kedai-kedai yang setahu saya ada servis ni:

– The Marathon Shop
– Running Lab
– Butik Brooks
– Butik Adidas
– Butik Asics – ada analisis terperinci. Ni yang paling canggih dan kuat racunnya.
– Sports Direct

============

Saya buat kedua-duanya untuk tahu kasut macammana yang sesuai untuk saya.

Dalam Wet Foot Test, saya keliru sikit sebab nak kata flat foot pun bukan, nak kata normal arch pun bukan. Untuk menjernihkan keadaan, saya pun pergi la The Marathon Shop kat Sunway Pyramid sebab kat kedai ni ada pad peta haba tu (main belasah jer terma dia ni haha), yang mana apabila kita pijak kaki di atasnya dan angkat, akan tercetak jelas bentuk tapak kaki.

Semasa saya buat ujian tu, saya rasa macam teruja sangat tengok kasut-kasut dan barangan lain yang ada dalam kedai tu. Berlaku pergolakan kecil dalam diri. Dilema di antara nak tahu jenis kaki sendiri yang sebenar sahaja atau terus merelakan diri diracun jurujual dengan kasut yang bakal dicadangkan.

Jurujual pun kata yang kaki saya ni di antara flat foot dan normal arch. Maksudnya kalau saya nak pakai kasut stabiliti pun boleh, cuma ikutlah kecenderungan sendiri. Pada masa itu, saya lebih suka percaya yang saya ni flat footer maka kena lah cari kasut stabiliti.

Oleh kerana sebelum itu saya berniat nak buat ujian sahaja, dan nak cuba semua jenama yang ada (bukan semua jenama dijual di The Marathon Shop) seboleh mungkin sebelum membeli, maka saya pun bertindak nakal sikit. Selepas ujian dan penerangan tu, jurujual tu pun tunjuk kasut-kasut yang berkenaan. Saya acah-acah berminat dan belek-belek tapi tak lama lepas tu saya mintak diri nak pergi tandas.

Fuhh selamat tak kena racun!

Saya pun teruskan pencarian di macam-macam kedai; Al-Ikhsan di Sunway Pyramid, kemudian ke New Balance, Adidas, Puma, Skechers, Stadium, Brooks, RSH, WOS, Sports Direct di pelbagai pusat membeli belah, dalam jangka masa beberapa hari. Ada yang sesuai, ada yang tidak. Ada kasut stabiliti yang agak bagus secara spesifikasinya seperti Brooks Adrenaline GTS tetapi apabila saya cuba, terasa macam ada batu di bawah lengkung. Ada yang lain pula yang hampir saja saya terjatuh cinta, tapi harganya ya ampunnn! Saya ni baru jer nak mula lari, takkan la nak beli kasut harga premium, kan? Beginner buat cara beginner.

Akhirnya, di Al-ikhsan Nu Sentral saya bertemu dengan kasut Nike Zoom Winflo, yang ada ciri stabiliti lembut pada insole dan bertapak lebar di bahagian tumit. Selepas cuba pakai dan melihatkan harganya yang berpatutan, saya terus beli tanpa rasa was-was!

Selepas beberapa siri uji lari, saya gembira kerana telah membuat pilihan yang betul. Walaupun kasut ini bukanlah popular (jarang sangat nampak orang lain pakai), tetapi apa yang lebih penting ia sesuai dengan saya. Tiada lagi masalah di tapak kaki.

Kasut ini telah pergi ke pelbagai acara dan permukaan selain jalan tar, iaitu seperti di atas pasir pantai dan denai kacukan (hybrid trail). Setakat ini, ia telah membawa saya sejauh 480km. Kebiasaannya saya pakai kasut ini untuk acara dan latihan berjarak sekitar 15km ke bawah. Tapi pernah juga la berlari sejauh 20km dengannya dalam satu sesi. Memandangkan ia dah berusia, sekarang saya banyak gunakannya sebagai kasut latihan.

Inilah cinta pertama saya dan mungkin dah tak lama lagi ia akan bersara. Bab nak letting go dengan kasut ni memang payah sikit. Semoga saya dapat melaluinya dengan tabah. Ehe.

Advertisements